Saturday 14 April 2012

Masalah Tenaga Elektrik Tidak Mencukupi



Kampung Air Tawar,  Tok Bali,  Pasir Puteh,  mengalami masalah tenaga elektrik yang tidak mencukupi sudah lebih setahun lamanya.



Permasalahan ini bukan sahaja menyebabkan kesusahan kepada penduduk setempat tetapi juga para peniaga di kawasan tersebut.


Sebagai contoh,  Encik Mohamed Said,  68,  seorang peniaga kedai runcit telah mengalami kerugian yang teruk disebabkan tidak dapat berniaga pada sebelah malamnya.


Operasi kedai beliau merosot disebabkan oleh keadaan lampu yang berkelip-kelip sehingga pelanggan beliau pun semakin berkurangan.


Beliau dengan peniaga-peniaga lain turut resah memikirkan barangan elektrik di kedai mereka seperti peti sejuk beku dan beberapa peralatan elektrik lain yang mungkin rosak jika masalah itu berpanjangan.


Aduan telah banyak kali dikemukakan tetapi tiada tindakan diambil untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi dan masalah tersebut semakin teruk.


Barangan elektrik penduduk setempat juga mengalami kerosokan akibat bekalan elektrik yang tidak mencukupi.  Itulah yang dihadapi oleh Md Aminuddin Mat Yusof,  32 berserta beberapa lagi jirannya yang lain.


Mereka amat berharap agar permasalahan ini dapat diselesaikan dengan segera kerana mereka juga ingin menikmati hidup seperti orang lain.


Anak-anak penduduk setempat yang sedang belajar pun terpaksa mengulang kaji pelajaran mereka di sebelah malam dengan mencari alternatif lain untuk mendapatkan cahaya.


Pihak yang berkenaan diharapkan dapat tampil memberikan keterangan serta menyelesaikan masalah dengan segera.

Wednesday 4 April 2012

Kelantan Darul 'Cow Boy'

Penulis merasakan bahawa negeri Kelantan Darul Naim atau Serambi Mekah patut ditukarkan namanya kepada Darul 'Cow Boy'.


Walaupun pada awal tahun ini,  Ketua Polis Datuk Jalaluddin Abdul Rahman pernah mengatakan bahawa Kota Bharu ini bukanlah satu bandar 'cow boy' tapi nampaknya apa yang dikatakan itu bukannya hakikat sebenar apa yang sedang berlaku di Kota Bharu kini.


Sebelum ini,  dua orang mangsa iaitu Hasan Mohd. Ali 40-an telah cedera akibat di tembak di paha kiri dan adiknya Norsiah Mohd Ali terselamat dari mengalami kecederaan.


Statistik kes tembakan ala mafia di Kota Bharu menunjukkan rekod kes tembakan kelima bagi tempoh 3 bulan pertama pada tahun 2012.


Pada 7 Januari lepas juga sepasang suami-isteri yang telah mengupah tiga lelaki lain untuk menembak seorang tukang masak, Mohd Shari Yusof, 32.


Mangsa nyaris maut apabila satu daripada tiga das tembakan rambang menembusi lengan kirinya dalam kejadian di hadapan sebuah kedai makan.





Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana niat cuba menyebabkan kematian dan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun.


Satu pasukan khas untuk membanteras kes tembakan menggunakan pistol telah ditubuhkan kerana ianya semakin menjadi-jadi di Kelantan.


Tetapi agak malang kerana walaupun pasukan khas tersebut telahpun diwujudkan,  nampaknya masalah ini bertambah parah.


Kelmarin,  berita kematian seorang pemuda,  Mohamad Nazuri Mohd Zain,  24,  pada jam 11.15 pagi,  dari Kampung Kubang Panjang,  Lemal dan rakannya yang ditembak oleh penunggang motosikal yang melepaskan beberapa das tembakan di Rantau Panjang menambahkan lagi jumlah statistik terkini kes tembakan di Kelantan.


Datuk Jalaluddin Abdul Rahman memaklumkan bahawa hasil pemeriksaan menunjukkan dua tembakan mengenai mangsa,  satu di bahagian rahang kiri dan satu di bahagian dada sebelah kiri.


Mungkin juga selepas ini semua penduduk Kelantan terpaksa ke mana sahaja dengan memakai jaket kalis peluru.  Siapa yang boleh membekalkan jaket kalis peluru?  Penulis ingin menempah satu set.


Sila e mel penulis untuk bagi sebut harga.

Monday 2 April 2012

Kerajaan Negeri Kelantan Tidak Mampu Menyelesaikan Masalah Air Di Kelantan



Para pembaca dijemput KLIK di sini untuk menonton tentang masalah air di Kelantan.


Kini,  sudah masuk 22 tahun kerajaan Islam PAS memerintah Kelantan.  Adakah masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat Kelantan sekian lama telah pun selesai?


Sepatutnya sebagai sebuah kerajaan negeri yang sudah pun berkuasa mentadbir negeri Serambi Mekah itu,  masalah-masalah yang dihadapi di negeri Kelantan khususnya harus diselesaikan dengan kadar segera.


Baru-baru ini di dalam Dewan Rakyat,  Dr Puad Zarkashi selaku Timbalan Menteri Pendidikan berkata kementeriannya sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk melihat cara membaik-pulih kualiti air di Kelantan.


Pendedahan oleh Dr Puad menunjukkan 39 daripada 77 buah sekolah di Kelantan sedang berada di dalam tahap bekalan air yang begitu kritikal.


Laporan Auditor-General pada 2009 menunjukkan kualiti bekalan air di Kelantan tidak menepati standard yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.


Pada tahun 2008,  kerajaan persekutuan telah mengagihkan sebanyak RM27.3 juta  untuk pembinaan 91 perigi tiub.


Daripada jumlah tersebut,  hanya 83 buah yang sudah disiapkan manakala baki selebihnya masih di dalam pembinaan.


Nampaknya masalah air karat di Kelantan hanya dapat diselesaikan kerajaan pusat juga sementara kerajaan negeri hanya lepas tangan dan hanya tau menuding jari menyalahkan orang lain di atas kelemahan mereka sendiri.


Dalam pada itu,  satu demonstrasi aman serta kempen mengumpul tandatangan akan diadakan untuk membantah masalah air di Kelantan ini.


Demonstrasi serta kempen tandatangan itu akan diadakan di Sekolah Kebangsaan Alor Bakat Mahligai Bachok pada 7 April ini iaitu hari Sabtu pada jam 10 pagi.


Kehadiran dari pelbagai NGO dijangka mencapai 100 sehingga 300 orang.


NGO-NGO gabungan yang terlibat ialah Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK),  Perkasa dan lain-lain lagi.


Semua rakyat Kelantan yang terlibat dengan NGO-NGO lain juga di Kelantan dijemput menyertai demonstrasi aman dan kempen tandatangan berkenaan.