Walaupun pada awal tahun ini, Ketua Polis Datuk Jalaluddin Abdul Rahman pernah mengatakan bahawa Kota Bharu ini bukanlah satu bandar 'cow boy' tapi nampaknya apa yang dikatakan itu bukannya hakikat sebenar apa yang sedang berlaku di Kota Bharu kini.
Sebelum ini, dua orang mangsa iaitu Hasan Mohd. Ali 40-an telah cedera akibat di tembak di paha kiri dan adiknya Norsiah Mohd Ali terselamat dari mengalami kecederaan.
Statistik kes tembakan ala mafia di Kota Bharu menunjukkan rekod kes tembakan kelima bagi tempoh 3 bulan pertama pada tahun 2012.
Pada 7 Januari lepas juga sepasang suami-isteri yang telah mengupah tiga lelaki lain untuk menembak seorang tukang masak, Mohd Shari Yusof, 32.
Mangsa nyaris maut apabila satu daripada tiga das tembakan rambang menembusi lengan kirinya dalam kejadian di hadapan sebuah kedai makan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana niat cuba menyebabkan kematian dan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun.
Satu pasukan khas untuk membanteras kes tembakan menggunakan pistol telah ditubuhkan kerana ianya semakin menjadi-jadi di Kelantan.
Tetapi agak malang kerana walaupun pasukan khas tersebut telahpun diwujudkan, nampaknya masalah ini bertambah parah.
Kelmarin, berita kematian seorang pemuda, Mohamad Nazuri Mohd Zain, 24, pada jam 11.15 pagi, dari Kampung Kubang Panjang, Lemal dan rakannya yang ditembak oleh penunggang motosikal yang melepaskan beberapa das tembakan di Rantau Panjang menambahkan lagi jumlah statistik terkini kes tembakan di Kelantan.
Datuk Jalaluddin Abdul Rahman memaklumkan bahawa hasil pemeriksaan menunjukkan dua tembakan mengenai mangsa, satu di bahagian rahang kiri dan satu di bahagian dada sebelah kiri.
Mungkin juga selepas ini semua penduduk Kelantan terpaksa ke mana sahaja dengan memakai jaket kalis peluru. Siapa yang boleh membekalkan jaket kalis peluru? Penulis ingin menempah satu set.
Sila e mel penulis untuk bagi sebut harga.