Friday 23 March 2012

Cik Siti Wan Kembang





Kemangkatan ayahanda Cik Siti Wan Kembang,  iaitu Sultan Ahmad pada 1589M sewaktu baginda baru berusia 4 tahun menyebabkan Raja Hussein dari Johor telah dilantik menjadi Pemangku Raja Pemerintah Kelantan.  Cik Siti Wan Kembang telah ditabal menjadi Raja Kelantan pada 1610M (1018H) apabila Raja Hussein telah mangkat.  Baginda kemudiannya telah bersemayam di Gunung Chinta Wangsa,  Ulu Kelantan,  kira-kira 40 kilometer ke arah Tenggara Kuala Krai.


Kunjungan oleh pedagang-pedagang dari dalam dan luar negeri membuatkan pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa  menjadi terkenal.  Panggilan "Paduka Cik Siti" diberikan kepada Cik Wan Kembang oleh orang-orang Arab.  Seekor kijang yang menjadi peliharaan baginda telah dijadikan sebagai lambang kebesaran negeri Kelantan.


Sebuah lagi kerajaan yang berpusat di Jembal di bawah pemerintahan Raja Sakti telah timbul semasa pemerintahan Cik Siti Wan Kembang pada 1638M (1046H).  Pada tahun 1649M (1059H),  Raja Sakti telah mangkat dan putera baginda Raja Loyor telah ditabalkan menjadi raja pada 1649M (1059H).  Baginda telah dikurniakan dengan dua orang cahaya mata iaitu seorang putera,  Raja Sakti yang mangkat sejak kecil dan seorang puteri yang bernama Puteri Saadong.


Kerajaan Loyor di Jembal dan Kerajaan Cik Siti Wan Kembang telah menjalinkan hubungan baik.  Cik Siti Wan Kembang telah mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat yang akan mewarisi kerajaan baginda kelak.


Penduduk Gunung Chinta Wangsa telah menggelarkan Puteri Saadong yang ayu lagi cantik jelita itu sebagai Puteri Wijaya Mala.  Maharaja Siam telah menghantar utusan untuk meminang Puteri Saadong setelah perihal tentang kecantiakn baginda itu sampai ke telinga baginda tetapi telah ditolak.  Raja Abdullah iaitu sepupu kepada Puteri Saadong telah dikahwinkan kepada Puteri Saadong dan dimahkotakan di Kota Tegayong (Tanah Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong).  Kemudiannya berpindah ke Kota Jelasin di Kota Mahligai.


Panglima Tentera Siam yang bernama Phraya Decho telah menculik Puteri Saadong dan membawa baginda kepada Narai Maharaja Siam (1656-1688).  Walau bagaimanapun,  beliau tidak boleh disentuh oleh Maharaja Siam kerana baginda telah mengenakan sumpah ke atas baginda setiap kali Maharaja Siam cuba menyentuhnya.  Satu pergaduhan telah berlaku diantara Raja Abdullah dan Puteri Saadong setelah baginda kembali ke Kelantan akibat perasaan cemburu Raja Abdullah.  Raja Abdullah telah terkorban akibat terkena cucuk sanggul Puteri Saadong di dalam pergaduhan itu.


Puteri Saadong telah melantik Raja Abdul Rahim iaitu saudara raja Abdullah sebagai Sultan di Kota Mahligai pada 1671M (1082H) dan dikahwinkan dengan janda Raja Abdullah,  anak Penghulu Ngah Jembal selepas kemangkatan Raja Abdullah.  Kemudian Puteri Saadong menjadi Raja di Bukit Marak dan tidak dapat dikesan lagi.


Kemangkatan Raja Abdul Rahim akibat ditikam oleh rakyatnya di tepi Tasik Lelayang Mandi memutuskan sejarah "kerajaan mahligai".  Selepas itu wujud pula Kerajaan Jembal yang pada waktu itu berada di bawah pemerintahan Raja Omar yang bergelar Sultan Omar pada 1675M (1086H).


Pembaca disarankan untuk membaca tentang waris ke 7 Puteri Saadong [Klik di sini].



No comments:

Post a Comment