Wednesday 28 March 2012

Pembuangan Sisa Ayam Di Tanah Perkuburan Kg Tok Bok




Terdapat satu masalah yang sedang membelengu penduduk di Kampung Tok Bok di Kuala Krai sejak sekian lama.


Ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah membuang sisa sembelihan ayam berhampiran sebuah tanah perkuburan di Kampung Tok Bok.


Tindakan mereka itu bukan sahaja menyebabkan masalah bau busuk kepada kawasan persekitaran malah mencemarkan alam sekitar bilamana sisa sembelihan turut dilemparkan ke dalam sungai.


Menurut seorang penduduk yang enggan dikenali,  walaupun ianya dilakukan agak jauh dari rumah kediaman,  perbuatan pihak tidak bertanggungjawab itu mengganggu keselesaan penduduk kerana kawasan yang dibuang sisa-sisa ayam itu bersebelahan dengan laluan utama mereka.


Tempat pembuangan itu terletak di tepi jalan yang digunakan oleh penduduk kampung tertamanya pelajar sebagai laluan utama mereka setiap hari.


Masalah itu sudah berpanjangan selama beberapa tahun dan penduduk kampung sudah tidak tahan nak menghidu bau busuk dari kawasan pembuangan sisa sembelihan itu.


Masalah kian meruncing terutamanya ketika musim panas di mana dibimbangi timbunan sisa sembelihan itu akan mengundang penyakit dan mengakibatkan masalah kesihatan kepada penduduk.


Tindakan mereka yang membuang sisa-sia ayam itu terus ke dalam sungai juga menyebabkan air sungai di situ sudah tercemar.


Dakwaan penduduk kampung itu ada asasnya juga kerana didapati terdapat ratusan timbunan sisa sembelihan yang diisikan ke dalam beg plastik yang sudah reput.


Perbuatan itu difahamkan dilakukan oleh peniaga dari sebuah pasar borong berdekatan atas permintaan seorang penduduk kampung dengan alasan ingin menjadikan sisa ayam itu baja tanaman.


Seharusnya agensi kerajaan berwajib seperti Jabatan Parit dan Saliran,  Jabatan Alam Sekitar,  Jabatan Kesihatan dan Majlis Daerah Kuala Krai mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah yang telah membelenggu penduduk di Kampung Tok Bok sejak beberapa tahun sudah.

No comments:

Post a Comment