Saturday 14 April 2012

Masalah Tenaga Elektrik Tidak Mencukupi



Kampung Air Tawar,  Tok Bali,  Pasir Puteh,  mengalami masalah tenaga elektrik yang tidak mencukupi sudah lebih setahun lamanya.



Permasalahan ini bukan sahaja menyebabkan kesusahan kepada penduduk setempat tetapi juga para peniaga di kawasan tersebut.


Sebagai contoh,  Encik Mohamed Said,  68,  seorang peniaga kedai runcit telah mengalami kerugian yang teruk disebabkan tidak dapat berniaga pada sebelah malamnya.


Operasi kedai beliau merosot disebabkan oleh keadaan lampu yang berkelip-kelip sehingga pelanggan beliau pun semakin berkurangan.


Beliau dengan peniaga-peniaga lain turut resah memikirkan barangan elektrik di kedai mereka seperti peti sejuk beku dan beberapa peralatan elektrik lain yang mungkin rosak jika masalah itu berpanjangan.


Aduan telah banyak kali dikemukakan tetapi tiada tindakan diambil untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi dan masalah tersebut semakin teruk.


Barangan elektrik penduduk setempat juga mengalami kerosokan akibat bekalan elektrik yang tidak mencukupi.  Itulah yang dihadapi oleh Md Aminuddin Mat Yusof,  32 berserta beberapa lagi jirannya yang lain.


Mereka amat berharap agar permasalahan ini dapat diselesaikan dengan segera kerana mereka juga ingin menikmati hidup seperti orang lain.


Anak-anak penduduk setempat yang sedang belajar pun terpaksa mengulang kaji pelajaran mereka di sebelah malam dengan mencari alternatif lain untuk mendapatkan cahaya.


Pihak yang berkenaan diharapkan dapat tampil memberikan keterangan serta menyelesaikan masalah dengan segera.

No comments:

Post a Comment